Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Wednesday, November 14, 2012 0 comments

Keimanan Senantiasa Diuji

Keimanan senantiasa diuji.
Apabila tiba saat itu,
Adakah perbuatan mampu menzahirkan apa yang diyakini dalam hati selama ini?
Ataupun lafaz kata-kata keyakinan itu hanya retorik?
Tertipu dengan kata-kata sendiri dan keyakinan yang palsu.
Disaat itu,
Barulah disedari dimana keimanan kita.
Barulah disedari dimana hati kita terpaut,
Pada Ilahi dan akhirat yang dijanjikan-Nya?
Ataupun pada dunia dan segala isinya?
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; 'Kami telah beriman,' sedangkan mereka tidak diuji?
Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."
[Al-Ankabut :2-3]

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta-benda mereka dengan (balasan), bahawa mereka akan beroleh syurga (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah didalam (kitab- kitab) Taurat dan Injil, serta Al Quran dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jualbelinya itu dan (ketahuilah bahawa) jualbeli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar."
[At-Taubah :111]
"Dunia ditangan bukannya dihati"
Monday, December 05, 2011 0 comments

Amalan sunnah Muharam..

Amalan sunnah Muharam..
Di antara amalan sunnah yang disebutkan secara khusus pada Muharam adalah berpuasa sunnah.

Sebagaimana disebutkan dalam hadis di atas, puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan adalah puasa Muharam. Maksud puasa dalam hadis tersebut adalah puasa sunnah secara umum. Memperbanyakkan amalan puasa sunnah dalam bulan ini (Muharam) terutamanya pada hari ke-10 Muharam adalah termasuk sunnah-sunnah yang sangat dianjurkan.



‘Abdullah B ‘Abbas r.a berkata, “Nabi tiba di Madinah dan beliau mendapati orang-orang Yahudi sedang berpuasa ‘Asyura (hari ke-10 Muharam).” Nabi bertanya,

“Puasa apakah ini?”

Orang-orang menjawab, “Hari ini adalah hari yang baik, iaitu hari di mana ALLAH telah menyelamatkan bani Israel daripada kejahatan musuhnya, maka Musa pun berpuasa sebagai tanda syukur beliau kepada ALLAH dan kami pun turut serta berpuasa.

” Nabi SAW pun berkata, “Kami lebih berhak terhadap Musa daripada kamu semua.” Akhirnya Nabi pun berpuasa dan memerintahkan umat Islam untuk berpuasa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sejarah penetapan puasa ‘Asyura mengalami beberapa fasa. Pada awalnya, ketika di Makkah Nabi berpuasa ‘Asyura tanpa memerintah orang lain untuk berpuasa. Kemudian apabila sampai di Madinah, beliau tetap terus berpuasa di hari Asyura dan memerintahkan umat Islam agar turut berpuasa.

Tetapi setelah perintah kewajiban berpuasa Ramadan turun, puasa pada hari Asyura menjadi sunnah dan tidak diwajibkan. Rasulullah mengatakan, “Sesiapa yang hendak berpuasa (pada hari Asyura), silakan berpuasa, bagi yang tidak berpuasa, juga tidak mengapa.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Kemudian ketika di penghujung hayatnya, Rasulullah SAW bertekad untuk tidak hanya berpuasa pada hari Asyura (hari ke-10) Muharam, tetapi juga bertekad untuk puasa pada hari yang ke-9.

Ibnu ‘Abbas r.a berkata, “Ketika Nabi sedang berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan para sahabatnya untuk turut berpuasa, para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, hari Asyura adalah hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Nashara.”

Maka Rasulullah SAW berkata, “Jika begitu, tahun depan insya-ALLAH kita puasa sekali pada hari yang ke sembilannya.” Ibnu ‘Abbas berkata, “Tetapi belum sempat sampai tahun depan, beliau telah wafat terlebih dahulu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dari hadis ini, umat Islam tidak hanya disunnahkan agar berpuasa di hari ke-10 Muharam atau dikenali sebagai hari Asyura, tetapi juga turut disunnahkan agar berpuasa pada hari ke sembilan Muharam.



Rasulullah mengisyaratkan tentang kelebihan puasa ‘Asyura sebagaimana sabdanya, “Adapun puasa di hari Asyura, aku memohon kepada ALLAH agar ia dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Hadis Riwayat Muslim)



Selamat Berpuasa!!

Wednesday, August 31, 2011 0 comments

Video : Ulama' Politik, Untuk Dakwah atau Parti?







Thursday, August 18, 2011 1 comments

Dunia Itu di Tangan dan Bukannya di Hati

altTatkala suatu ketika, seorang raja yang agung memanggil seorang ulama' bagi mengadapnya.
"Wahai orang alim, bisakah kamu memberi satu nasihat kepadaku yang pasti akan terkesan di hatiku ini?" Kata Raja tersebut.
Maka balasnya:
"Aku tidak bisa membuatkan hatimu terkesan dengan kata-kataku melainkan dirimu sendiri yang membuka pintu hatimu. Wahai Tuanku, berapa banyakkah harta-harta Tuanku?"


"Harta-harta ku ibarat titisan hujan di negeri ini banyaknya, walaupun dimana engkau berada, di situ terdapatnya hartaku. Tidak terbilang banyaknya."Jawab Sang Raja.

"Wahai Tuanku, andaikanlah suatu ketika Tuanku sesat di tengah padang pasir yang sangat panas bahangnya, yang pasti tiada satu pun pohon yang dapat Tuanku jadikan tempat teduhan.Tuanku berjalan mencari jalan keluar. Namun Tuanku hilang arah tuju. Tidak tahu lagi dimana untuk menapakkan kaki Tuanku lagi.
Dan tatkala itu, Tuanku berasa tersangat keletihan. Kehausan membuatkan Tuanku terasa untuk menjadikan sekalian laut sebagai minuman. Seakan nyawa berada di hujun badan. Namun Tuanku tidak punya apa-apa. Lalu seorang lelaki datang kepada Tuanku. Di sebelah tangan kanannya ada botol yg berisi air."
Dan Dia berkata pada Tuanku:
" Jika kamu ingin air ini, sudikah kamu untuk menukarkan ia dengan setengah dari hartamu?"
Jadi apa jawab Tuanku?"
Raja itu terus bersuara:
" Sememangnya beta terrpaksa menerimanya, sekiranya itu adalah jalan terakhir bagi beta selain mati begitu sahaja."
Lalu dibalas kembali oleh ulama' tersebut.
"Alhamdulillah, Tuanku bisa menilainya dengan baik. Saya yakin yang Tuanku pasti meminumnya. Tapi bayangkanlah pula wahai Tuanku, tatkala habis air itu tuanku minum, lalu Tuanku berasa ingin membuang air kecil pula.
Namun malangnya. Tuanku tidak boleh berbuat sedemikian. Walaupun dicuba sedayanya, Tuanku tidak juga berjaya. Sememangnya akan rasa keperitan yang teramat sangat tatkala itu. Keperitan yang cukup membuatkan diri Tuanku terasa derita."
Lalu datang pula lelaki yang lain. Dibawanya pula sebotol ubat. Lalu dia berkata kepada Tuanku:
" Wahai Tuanku, ubat ini bisa menyembuhkan penyakit itu. Namun sudikah tuanku menukarnya dengan sekalian harta tuanku?" Apakah jawab Tuanku pula kali ini?, Ulama' itu menyoalnya.
Lalu dijawabnya:
" Sekiranya itu jalan terakhir, dan jika tersangat perit Beta menahannya, maka Beta sanggup."
Ulama' itu tersenyum lalu berkata:
"Tahniah Tuanku, tuanku bisa berfikir dengan baik sekali lagi. Namun Tuanku kini sudah tidak punya apa-apa. Jadi Tuanku renung-renungkanlah. Harta kekayaan itu sebenarnya tidak memberi jaminan bahawa kita akan tetap kaya. Apatah lagi bahagia. Allah itu bisa menjadikan kita miskin walaupun bergunung emas dihadapan kita.
Kerana sekiranya suatu ketika, Keperluan lain datang secara tiba-tiba, dan tatkala Allah mengurangkan sedikit nikmat yang ada pada dirimu, Yang denganya jasadmu akan terseksa. Pasti sekalian harta kamu sanggup menjadi tukarannya. Namun bagaimana sekiranya Tuanku tidak dapat mendapatkan nikmat itu kembali?
Ketika itu, Pasti kita akan merasa. Bahawa orang miskin yang makanannya hanya sehari sesuap sahaja ternyata lebih kaya berbanding kita. Orang yang tinggal di pondok buruk lebih bahagia hatinya. Orang yang tidur beralaskan tikar buruk, lebih nyenyak tidurnya.
Jadi apakah hakikat sebenar harta dunia?"
Marilah bersama mengenal erti qanaah sejenak.
Qanaah ialah kepuasan hati dengan rezeki yang ditentukan Allah. Dikatakan bahawa Allah menentukan lima perkara pada lima tempat iaitu kemuliaan pada ketaatan, kehinaan pada maksiat, kehebatan pada ibadat malam, hikmat kebijaksanaan pada perut yang kosong dan kekayaan pada sifat qanaah.
Qanaah bukanlah bermaksud hilang semangat untuk berkerja lebih keras demi menambah rezeki dan produktiviti.
Malah, ia bertujuan supaya kita sentiasa bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Allah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Jadilah kamu seorang yang warak, nanti kamu akan menjadi sebaik-baik hamba Allah, jadilah kamu seorang qanaah, nanti kamu akan menjadi orang yang paling bersyukur kepada Allah, sedikitkanlah ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati." (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:
"Apabila kamu melihat seseorang dikurniakan kelebihan dengan harta melimpah-limpah dan dengan kecantikan, maka lihatlah pula kepada orang yang serba kekurangan". (Bukhari)
[Sumber] 
 
Thursday, August 04, 2011 0 comments

Bentuk peribadi Islam melalui tadarus al-Quran

Datuk Harun Taib   

Di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, Islam menganjurkan umatnya agar bertadarus membaca al-Quran. Ia berdasarkan kepada apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dengan Jibril berdasarkan sebuah hadis yang maksudnya:
Daripada Ibn Abbas r.a. katanya: "Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang sangat pemurah. Baginda sangat pemurah khususnya dalam bulan Ramadhan ketika Jibril menemuinya. Jibril menemuinya pada setiap malam dalam bulan Ramadhan lalu bertadarus al-Quran dengan baginda." (Hadis riwayat Bukhari).
Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:
"Tidak berhimpun sesuatu kaum dalam sebuah rumah dari rumah-rumah Allah - mereka membaca kitab Allah dan bertadarus di antara mereka - melainkan turun kepada mereka ketenangan, diliputi dengan limpahan rahmat, dilingkungi oleh para malaikat dan dipuji oleh Allah Taala dalam kalangan (malaikat) yang ada disisinya." (Hadis riwayat Abi Daud).
Menurut Mohd Shamsul Haqqil 'Azim, penulis kitab Aunul Ma'bud, maksud tadarus dalam hadis di atas ialah berkongsi membaca al-Quran di antara satu sama lain.
Jelasnya, tadarus al-Quran adalah merupakan syiar yang diamalkan semenjak zaman awal Islam. Hasil daripada syiar inilah terbentuknya keperibadian Islam yang sebenarnya. Antara ciri-ciri keperibadian Islam adalah mempunyai akidah yang benar, ibadat yang betul, akhlak yang mulia, teratur dalam setiap urusannya, disiplin menggunakan waktu dan bermanfaat kepada orang lain.
Justeru, seseorang yang mempunyai keperibadian Islam tidak akan meninggalkan syiar tadarus ini. Ia adalah merupakan amalan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat bahkan diberikan kelebihan yang banyak oleh Allah SWT. Ketenangan dan limpahan rahmat daripada Allah hasil daripada tadarus ini menjadikan seseorang itu mempunyai keperibadian yang istimewa dan tersendiri berbanding dengan mereka yang tidak bertadarus.
Dengan bertadarus, seseorang akan lebih rapat dengan al-Quran. Ia menjadi temannya yang akrab, menunjukkan jalan yang lurus dan menegurnya jika melakukan kesalahan. Generasi para sabahat r.a. lahir daripada keakraban ini. Bermula dengan keruntuhan akhlak dan moral sehingga digelar hidup dalam masyarakat jahiliyyah akhirnya menjadi peribadi insan yang mulia yang digelar sebagai generasi al-Quran yang unik.
Pun begitu, bertadarus tanpa beramal dengan isi kandungan al-Quran merupakan satu penyakit yang wujud di kalangan umat Islam yang merosakkan keperibadian muslim. Mereka tidak menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan.
Firman Allah yang maksudnya: Dan berkatalah Rasul: "Wahai Tuhanku Sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan Yang ditinggalkan, tidak dipakai". (Al-Furqan: 30).
Sebagai contoh kesan daripada bertadarus al-Quran sebagaimana firman Allah s.w.t  di dalam surah al-Jumuah ayat 2 yang bermaksud: “Dialah yang mengutus seorang rasul kepada kaum yang buta huruf dari kalangan mereka sendiri,yang membacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya,menyucikan ( jiwa ) mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah ( sunnah ),meskipun sebelumnya,mereka benar-benar dalam kesesatan yang nyata.”
Ayat ini menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. dalam keadaan ummi iaitu tidak tahu membaca dan menulis akhirnya apabila alQuran diturunkan nabi membaca dan mengajar kepada sahabat-sahabatnya maka kesan daripada tindakan itu lahir satu generasi seperti Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman Bin Affan, Ali bin Abi Talib dan AbdurRahman bin Auf. Walaupun mereka itu pada zaman jahiliyah tergolong dalam golongan yang sesat.
Oleh kerana itulah tadarus al-Quran merupakan satu amalan yang dituntut untuk diamalkan oleh seluruh umat Islam khususnya para pendokong pejuang Islam supaya memahami tuntutan Islam itu melalui al-Quran itu sendiri.

Monday, August 01, 2011 0 comments

SEPULUH ADAB-ADAB BERPUASA DAN SOLAT TARAWIH


Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut, antara yang terpenting ;

i. menjaga lidahnya dari berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena mengena dengannya,

ii. memelihara mata dan telinga dari melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh Syara’ dan yang sia-sia,

iii. mengawal perutnya dari merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilakn pemakanan yang halal lagi bersih,

Ulama silam pernah berpesan : “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka ?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri dari terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal.

iv. berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan dari mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Junjungan saw : “Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran dari puasanya melainkan lapar dan dahaga!” [an-Nasaei]

Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam samada mereka sedang berpuasa atau tidak, apatah lagi bagi yang berpuasa ianya lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasullah saw : “Puasa itu adalah ‘ perisai’, sekiranya seseorang dari kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat cerdik sungguh.. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakana kepada orang itu : “Saya sedang berpuasa”. [al-Bukhariy dan Muslim]

v. janganlah membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan besederhanalah pada keduanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang, hatinya ceria, itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai.

vi. jauhikan diri dari mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja di bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Pengembelingan diri di dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadhan.

Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal mereka ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan Iblis dan rayuannya yang bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, ni’mat limpahan ketenangan dari Allah swt, kekusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepadaNya.

Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakananya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas melakukan ketaatan kepada Allah swt.

Sabdanya : “Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya” [ Ahmad dan at-Tarmiziy].

Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut : ‘Sekiranya perutmu kenyang angota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang’.

As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat di bulan Ramadhan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa.

vii. tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadhan ini bahkan mengambil kesempatan yang ada bagi beribadat kepada Allah dan mengingatiNya sebaik mungkin. Justeru itu dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tangungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhiratnya.

viii. mempraktikkan amalan sunnah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ianya tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur. [sumber]

Nabi saw berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib.

Sabdanya : “Ummatku sentiasa berada di dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur”. [Ahmad, al-Bukhariy dan Muslim].

ix. menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda Baginda saw : “Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa)”. [al-Baihaqi dan ibnu Khuzaimah].

x. memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat Tarawih, witir dan sebagainya.

Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat Tarawihnya sepertimana amalan kebiasaan sebahagian besar mereka di masjid dan surau. Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadah solat Tarawih mereka kerana meninggalkan ‘wajib-wajib’ solat tersebut seperti ; meninggalkan tomakninah semasa ruku’ dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga meninggalkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan Tarawih seperti itu menjadi tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.

Kerana itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan qiyam, bacaan al-Fatihah, ruku’, sujud, khusuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.

Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya di dalam mengerjakan solat Tarawih itu sehinggalah selesai samada sebanyak 20 rakaat atau pun 10 rakaat. Sabdanya saw : “Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala qiyam semalaman” [an-Nasaei]. [sumber
 
Thursday, May 26, 2011 0 comments

Ustaz Harun Din Tumpaskan Mubaligh Hindu

by- Muslimeen United


Lelaki India berbadan tegap itu menghempaskan dirinya ke atas sofa di ruang tamu rumahnya di Petaling Jaya. Hari ini, dia rasa terlalu letih. Pelanggan yang datang ke bank tempatnya bekerja hari ini, luar biasa ramainya. Dia cuma sempat berhenti rehat sewaktu makan tengah hari sahaja. Selepas itu, dia kembali sibuk melayan pelanggan sehinggalah habis waktu pejabat.

Lelaki itu menghidupkan TV dan kebetulan ketika itu, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam sedang berlangsung. Salah seorang ahli panelnya ialah ulama terkenal, Dato' Dr. Haron Din.

Biarpun dia bukan seorang Muslim, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam bukanlah asing baginya. Selalu juga dia menonton rancangan tersebut. Malah, dia juga tahu sedikit sebanyak tentang ajaran Islam melalui rancangan tersebut. Lagipun, dia suka melihat kepetahan ahli panel itu memberi ceramah dalam bahasa Melayu, secara tidak langsung, dia boleh belajar bertutur dalam bahasa Melayu dengan lebih baik.

Sedang asyik mengikuti perbincang-an itu, tiba-tiba, lelaki tersebut tersentak apabila mendengar Haron Din mengatakan: "Bandingan segala kebaikan amal dan usaha orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin pada hari ribut yang kencang, mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun daripada apa yang mereka telah usahakan itu. Amalan itu menjadi sia-sia akibat mereka sebenarnya berada dalam kesesatan yang jauh daripada kebenaran."

Mendengar kata-kata Haron Din, darah lelaki India itu menyirap. Perasaan marah menyelinap masuk ke dalam hatinya. Mana boleh! Itu tidak adil! Takkan Tuhan hanya menerima kebaikan orang Islam sahaja? Bagaimana dengan kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam?

Bahkan, sepanjang hidupnya, dia melihat banyak kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan Islam, dan ada kalanya, melebihi daripada Kebaikan yang pernah dilakukan oleh orang Islam itu sendiri. Apakah segala kebaikan itu tidak diterima? Dia mula menganggap, ajaran Islam mengamalkan sikap kasta. Jika begitu ajaran Islam, bermakna ia double standard.

Rasa tidak puas hati terus menyelubungi fikiran lelaki tersebut. Lelaki India itu tekad untuk berjumpa dengan Haron Din. Dia ingin berdebat dengan ulama tersebut. Pada fikirannya, mana boleh seorang ulama mengeluarkan kenyataan yang tidak adil seperti itu, dan boleh menyentuh perasaan orang bukan Islam di negara ini seperti dirinya. Apatah lagi ia dilakukan secara terbuka di kaca TV.

Lelaki itu tahu, Haron Din bukanlah calang-calang orang, tetapi dia tidak peduli. Dia tetap mahu berjumpa dengan ulama tersebut dan mesti mencari jalan bagaimana untuk bertemu dengannya. Setelah beberapa bulan memendam niat untuk bertemu Haron Din akhirnya hasrat itu tercapai. Melalui seorang pelanggan yang dikenali ketika berurusan di bank tempatnya bekerja, lelaki itu dibawa bertemu dengan Haron Din di sebuah rumah seorang ahli perniagaan di Petaling Jaya. Haron Din mengadakan usrah di rumah ahli perniagaan tersebut pada hari Khamis malam Jumaat, seminggu sekali.

Ketika sampai di rumah ahli perniagaan tersebut, kuliah baru saja bermula. Di hadapan lebih 20 orang jemaah, kelihatan Haron Din duduk bersila sambil memegang sebuah kitab. Kebetulan pada malam itu, Haron Din mengajar tentang bab syirik. Bila ternampak muka Haron Din, hatinya menjadi panas.

Lelaki itu membulatkan tekad, selepas tamat kuliah, dia mahu berjumpa dengan Haron Din. Dia mahu mengajak Haron Din berdebat. Lelaki itu memang betul-betul tidak berpuas hati dengan kenyataan Haron Din di dalam Forum Perdana. Ia masih terngiang-ngiang di telinganya biarpun sudah beberapa bulan berlalu.

Namun, tidak disangka-sangka, segala yang dirancangnya tidak menjadi. Perasaan marah dan bengang yang bersarang dalam dirinya selama beberapa bulan itu mula surut apabila dia duduk mendengar kuliah yang disampaikan oleh ulama tersebut.

Setelah tamat kuliah yang diberikan Haron Din, lebih kurang dua jam selepas itu, semangatnya yang tadi berkobar-kobar mahu berdebat dengan ulama tersebut, kian kendur. Rupa-rupanya, dalam diam, dia mengakui, cara penyampaian, serta kupasan Haron Din yang begitu terperinci dalam bab-bab syirik, membuatkan dia rasa amat terpegun.

Sebelum ini, lelaki India itu tidak pernah mendengar penjelasan mengenai Islam dan ketuhanan seperti yang didengarnya pada malam itu. Biarpun hati lelaki berkenaan sudah mula mahu akur pada kebenaran Islam, namun egonya masih menebal. Lelaki ini memperingatkan dirinya, kedatangannya pada malam itu bukan untuk terpengaruh dengan kata-kata Haron Din, tetapi untuk mengajak ulama itu berdebat dengannya.

Akhirnya dia memutuskan untuk menangguhkan hasrat berdebat dengan Haron Din. Bukan tidak berani, tetapi sebenarnya pada malam itu segala persepsi buruknya terhadap Haron Din dan Islam telah mula berubah.

Pun demikian, lelaki itu tidak mahu mengalah dengan perasaannya. Ego yang ada dalam dirinya mengaburi kewarasan akalnya. Misinya berjumpa dengan Haron Din ialah untuk menyatakan apa yang dikatakan oleh ulama tersebut dalam Forum Perdana adalah tidak adil. Tidak lebih daripada itu.

Dan yang paling penting, tujuan dia bertemu ulama tersebut bukanlah untuk mengakui kebenaran Islam. Lelaki itu membuat perancangan sendiri. Dia akan terus mengikuti kuliah Haron Din di situ, agar dia lebih faham tentang Islam dan senang nanti untuk dia berhujah dengan ulama tersebut kelak.

Selepas itu, pada setiap malam Jumaat, lelaki berkenaan menghadiri kuliah Haron Din. Kali ini dia pergi seorang diri. Tetapi 'masalahnya' semakin lama mengikuti usrah Haron Din, semakin jelas dilihatnya kebenaran Islam. Lama-kelamaan, tujuan asal lelaki ini untuk berdebat dengan Haron Din dan mengatakan bahawa Islam agama yang double standard, bertukar menjadi sebaliknya. Setiap kali dia mengikuti usrah Haron Din, semakin hampir hatinya pada Islam. Islam itu dilihatnya tulus, lurus tanpa simpang-siur.

Niat asalnya untuk berdebat dengan Haron Din akhirnya terpadam begitu sahaja. Sebaliknya, hatinya menjadi semakin lembut dan lelaki India itu bertambah berminat untuk mengetahui tentang ajaran Islam dengan lebih mendalam.

Suatu hari ketika mengikuti usrah Haron Din di rumah ahli perniagaan tersebut, lelaki India itu mengambil peluang bertanyakan bermacam-macam soalan tentang Islam. Dia bertanya, mengapa perlu meninggalkan agamanya dan memeluk Islam? Bukankah semua agama itu sama. Bukankah Islam itu juga sama seperti agama lain, menyuruh membuat kebalkan dan meninggalkan kejahatan?

Dan yang paling penting, dia mahu tahu, kenapa Haron Din mengatakan hanya amalan orang Islam sahaja yang diterima Allah, dan amalan orang bukan Islam tidak diterima-Nya seperti yang disebut di dalam Forum Perdana Ehwal Islam tidak berapa lama dulu.

Haron Din tersenyum dan secara berkias beliau menjawab; " Untuk memudahkan saudara memahaminya, biar saya berikan contoh begini: kita adalah seorang hamba dan tuan kita memberikan kita sebidang tanah, cangkul, benih, baja dan segala kelengkapan yang lain untuk kita mengusahakan tanah tersebut.

"Tuan kita suruh kita usahakan tanah itu tetapi kita tidak berbuat seperti mana yang disuruh, sebaliknya kita mengusahakan tanah orang lain. Kemudian bila tiba di hujung bulan, kita datang kepada tuan kita untuk meminta upah. Saudara rasa, adakah tuan kita akan bagi upah sedangkan kita tidak lakukan apa yang disuruh, sebaliknya kita melakukan kerja untuk orang lain?

"Begitu jugalah simboliknya di dalam Islam. Jika kita melakukan kebajikan dan kebaikan, bukan kerana Allah, tetapi kerana sesuatu yang lain, contohnya kerana manusia, pangkat atau harta, apakah di akhirat nanti, Allah akan memberi balasan di atas amal perbuatan kita sedangkan semua amalan yang kita lakukan bukan untuk Dia?"

Ternyata segala jawapan dan hujah yang diberikan oleh Haron Din atas pertanyaannya itu, membuatkan dia mati akal. Begitu juga dengan setiap hujah dan persoalan yang cuba ditimbulkan lelaki itu dengan mudah dipatahkan oleh Haron Din dengan cara yang lembut dan bijaksana, tanpa sedikit pun menyinggung perasaannya sebagai orang bukan Islam.


Setelah empat minggu berturut-turut mengikuti kuliah yang diberikan oleh Haron Din, ego yang ada di dalam dirinya hancur dengan kebenaran Islam. Akhirnya hati lelaki itu terbuka untuk memeluk Islam. Enam bulan selepas itu, secara rasmi lelaki India tersebut memeluk Islam.

Dalam satu pertemuan empat mata dengan Haron Din setelah lelaki itu memeluk Islam, dia sempat bertanya mengapakah ulama tersebut mengeluarkan kenyataan seperti itu di kaca TV, sedangkan kenyataan itu boleh mengundang rasa tidak puas hati di kalangan bukan Islam, seperti apa yang dirasakannya.

Haron Din menjelaskan kepada lelaki India tersebut: "Memang kenyataan itu saya tujukan khusus untuk orang bukan Islam. Saya mahu orang bukan Islam berfikir tentang kehidupan, asal usul manusia dan kebenaran agama. Saya mendapat maklum balas, ramai di kalangan bukan Islam yang menonton rancangan itu. Jadi, sengaja saya bacakan ayat al-Quran itu agar mereka berfikir."


"Dan saya adalah di antara mereka yang terkena provokasi Haron Din itu. Biarpun pada peringkat awalnya saya bertemu beliau atas sebab tidak puas hati dengan kenyataannya, namun akhirnya, saya bersyukur, kerana ia menjadi penyebab yang membuatkan saya akhirnya menerima cahaya kebenaran Islam," jelas Mohammad Fitri Abdullah, 43, lelaki India yang dimaksudkan dalam cerita di atas.

Ketika Mastika menemuinya di pejabat Perkim bahagian Shah Alam di Masjid Negeri Shah Alam, Fitri berulang kali menyatakan betapa syukurnya dia mendapat hidayah biarpun pada mulanya dia langsung tidak terfikir untuk memeluk Islam.

"Seperti yang saya katakan, pada awalnya niat saya adalah untuk berdebat dengan Haron Din akibat rasa tidak puas hati terhadap kenyataannya itu. Tetapi, apabila saya mendengar penjelasan beliau, ego saya jatuh dan dalam diam-diam saya mengakui, saya bukanlah orang yang layak untuk berdebat dengan beliau," jelasnya.

Sebenarnya sebelum memeluk Islam, Fitri memang seorang yang taat terhadap agamanya. Dia bukan sekadar seorang pengikut yang taat, tetapi juga bergerak aktif dalam beberapa persatuan yang berteraskan agama yang dianutinya. Selain itu, dia turut mengajar di beberapa rumah ibadat di sekitar ibu kota. Biarpun kuat terhadap agamanya, namun jauh disudut hati, lelaki itu sering merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan agama yang dianutinya.

"Sebenarnya, agama tersebut juga mengajar pengikutnya untuk menyembah Tuhan yang satu. Di dalam kitab-kitab lama, itulah ajarannya. Tapi masalahnya, apa yang dilakukan oleh penganut agama tersebut berlainan daripada apa yang diajar di dalam kitab.

"Mereka tidak menyembah Tuhan yang satu, sebaliknya menyembah bermacam-macam Tuhan, selain dari Tuhan yang satu," tegas lelaki yang berasal dan Banting, Selangor ini. Lantaran itulah kata Fitri, hatinya sering berasa ragu dengan agama sendiri. Perasaan ini bukannya baru, malah timbul sejak dia berusia belasan tahun lagi. Dia melihat apa yang diajar di dalam kitab, dengan apa yang dipraktikkan oleh penganut agama lamanya, termasuk dirinya sendiri, ternyata bercanggah sama sekali.

"Tetapi apabila saya mendengar kuliah Haron Din, diam-diam saya mula sedar, saya memang berada dalam kesesatan yang nyata. Pertama kali mendengar ceramah beliau, sudah cukup untuk memberi kesedaran pada diri saya sekali gus berjaya mengubah pandangan saya terhadap Islam selama ini. Mungkin itulah kelebihan yang Allah berikan pada Haron Din," kata Fitri lagi.

Kejadian itu sebenarnya telah pun berlalu hampir 15 tahun, namun cahaya iman yang menyerap ke dalam hatinya masih lagi sesegar dulu. Malah, dari hari ke hari semakin kukuh bertapak di dalam dirinya.

Jika dahulu Fitri seorang mubaligh yang aktif menyebarkan agama lamanya, kini Fitri masih tetap begitu. "Cuma bezanya, hari ini saya bergerak di atas landasan agama yang benar iaitu Islam. Saya cukup sedih bila mendengar ada saudara seagama saya, terutamanya di kalangan orang Melayu yang sanggup keluar dari Islam. Murtad.

"Hari ini, menjadi tanggungjawab saya untuk membantu mereka, memulihkan iman mereka, dengan pelbagai usaha dan cara, termasuk berkongsi pengalaman yang saya lalui sebelum ini.

"Ini adalah tuntutan wajib buat diri saya. Dengan kelebihan yang Allah anugerahkan kepada saya, saya perlu laksanakan amanah ini biarpun berat, sebagai usaha saya membantu menyemarakkan agama Allah di muka bumi yang bertuah ini," ujarnya bersungguh-sungguh mengakhiri pertemuan kami pada petang itu.

Ustaz Harun Din adalah ulama yang amat disegani dan saya sungguh sedih melihat ulama seperti beliau seolah-olah tiada tempat dalam masyarakat kita. Sungguh sukar untuk kita lihat wajah beliau di kaca televisyen sedangkan ilmu yang beliau miliki amat penting untuk kita sama-sama kongsi, pelajari dan amalkan. Rancangan Forum Perdana kini gagal menarik minat penonton Islam termasuk bukan Islam kerana kita kehilanagan ulama-ulama seperti Ishak Baharom, Badrul Amin, Harun Din, dan ramai lagi. Kenapa mereka ini di gam? Disekat terus menerus? Mengapa?

Thursday, May 19, 2011 0 comments

Jadilah pembela agama Allah

Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM

UNTUK menjadi manusia yang layak mendapatan syafaat (recommendation) baginda Rasulullah s.a.w. pada hari kiamat, bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan kepada sejauh mana kita telah memberikan sumbangan bakti kepada Islam dalam erti kata yang menyeluruh.

Sumbangan bakti yang pernah dilakukan oleh para sahabat baginda hingga dijanjikan dengan syurga Allah SWT, mereka telah menyumbang sama ada dari sudut tenaga, pemikiran idea, harta benda, masa dan sebagainya, semata-mata mahu melihat Islam terus berdaulat di muka bumi ini.

Ia bermula dengan kesungguhan kita untuk menggarap ilmu-ilmu agama yang pelbagai yang dijadikan sebagai alat untuk memperkasa diri, kemudian menyampai dan melaksanakan dalam kenyataan hidup sebagai Muslim yang sejati, serta memimpin manusia seluruhnya untuk bersama menghayati ilmu-ilmu berkenaan sebagai benteng terakhir untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Tindakan itu juga dianggap sebagai usaha untuk membela agama Allah agar terus subur dan dapat diterima oleh generasi selepas ini. 
 
Ia mengingatkan kepada satu firman Allah menerusi ayat 14 surah as-Sof yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Maryam (ketika dia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: "Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agama-Nya)?" mereka menjawab: "Kamilah pembela-pembela (agama) Allah!" (setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak daripada kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka jadilah mereka orang-orang yang menang."
 
Justeru, pembela agama Allah adalah mereka yang sanggup berkorban dengan sepenuh jiwa raga, harta, masa, kesungguhan mereka untuk memastikan agama Islam terlaksana sepenuhnya di muka bumi ini tanpa mengira penat lelah kerana Islam memerlukan individu-individu Muslim yang sanggup berkorban pada bila-bila masa yang diperlukan.
 
Elakkan diri daripada menjadi penyebab gagalnya hukum Islam untuk dilaksana di bumi yang ditadbir oleh orang yang bernama Islam. Kerana sesungguhnya manusia Islam itu ada yang hanya Islam pada nama tidak pada keyakinan mereka kepada keuniversalan Islam yang mampu mentadbir, pegangan terhadap Islam yang datang daripada Allah SWT juga masih kabur, malah wujud di kalangan umat Islam hari beberapa jenis kategori Muslim yang beza antara satu sama lain.
 
Golongan pembela agama Allah ini sentiasa wujud dan lahir pada bila-bila masa, merekalah golongan yang meletakkan agama Islam lebih tinggi dari segala-galanya, malah lebih tinggi dan mulia daripada diri mereka sendiri. Mereka adalah golongan yang tidak takut kepada celaan, pakatan jahat manusia dan makhluk-makhluk yang ada di muka bumi ini. Hati mereka sudah sebati dengan kebesaran Allah, malah Allah adalah segala-galanya dalam hidup mereka.
 
                                                         Ciri ‘pembela agama Allah’
 
Sesungguhnya al-Quran telah menggaris-panduan kepada umat Islam beberapa ciri yang perlu ada kepada golongan pembela agama Allah, antaranya:
 
1. Cara untuk mendapat keberuntungan, dunia dan akhirat seperti yang Allah firmankan menerusi surah ~Ali Imran ayat 104 yang bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung."
 
2. Memiliki ciri umat manusia yang terbaik, seperti dalam ayat 110 surah ~Ali Imran : "Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik."
 
3. Memiliki dasar-dasar pembangunan akhlak salihah seperti dalam surah ~Ali Imran ayat 114 maksudnya : "Mereka beriman kepada Allah dan hari penghabisan mereka menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar dan bersegera kepada (mengerjakan) pelbagai kebajikan; mereka itu termasuk orang-orang yang salih."
 
4. Memikul serta menjalankan tugas mulia para nabi sejak dulu, ia dijelaskan menerusi surah al-A’raf ayat 157 : "(Iaitu) orang-orang yang mengikut Rasul, Nabi yang umi yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang menyuruh mereka mengerjakan yang makruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang daripada mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (al-Quran), mereka itulah orang-orang yang beruntung."
 
5. Berusaha agar adanya sebab-sebab turunnya rahmat daripada Allah SWT, perkara ini dijelaskan Allah dalam surah at-Taubah ayat 71: "Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."
 
6. Memiliki sifat seorang mukmin sejati, Allah menjelaskan dalam surah al-Hajj ayat 41: "(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allahlah kembali segala urusan."
 
7. Melaksanakan kewajipan yang diperintahkan Allah SWT tanpa sebarang keraguan dalam hati, perkara ini dijelaskan dalam surah Luqman ayat 17: "Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) daripada perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).
 
                                 Apakah wajib laku amar makruf nahi munkar?
 
Amar makruf nahi munkar hukumnya fardu kifayah, ertinya apabila sebahagian umat sudah menegakkannya dengan jumlah dan kekuatan yang memadai untuk mengajak kepada kebajikan dan mencegah kemungkaran maka gugurlah kewajipan sebagian umat lainnya.
 
Firman Allah Subhanahu Wa Taala: "Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung." ~Ali Imran ayat 104
 
"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
 
 
p/s- Ayuh semua!!
Tuesday, May 10, 2011 0 comments

Daie Cemerlang!!!

Hidup 
 Penuh dengan tanggungjawab
Setiap orang mempunyai tanggungjawab yang berbeza
Ada yang sedikit dan ada yang banyak
Semuanya mengikut kemampuan masing-masing

Peranan sebagai daie dan pelajar
Memang satu tanggungjawab yang besar
Kepada diri, keluarga, masyarakat, negara dan 
Agama
Mampukah aku laksanakan semua ini
Belajar 
Dan pada masa yang sama
Berdakwah

gambar hiasan (xde kaitan ngan USIM pon)

Sedikit tips untuk mereka yang sama kondisi denganku
Bagaimana untuk menjadi seorang

Daie Cemerlang!!!

Baik dalam dakwah 
Mahupun dalam akademik


Moga mencapai kejayaan dalam kedua-duanya
Semoga Berjaya!!!



Friday, May 06, 2011 0 comments

Kerasnya Hati Ini!!!

"Kehidupan Alam Barzakh"
Tajuk khutbah jumaat hari ini
Disampaikan dengan penuh semangat
Menceritakan keadaan seseorang apabila meninggalkan alam dunia ini
Begitu indah bagi mereka yang patuh
Teramat azab bagi mereka yang ingkar


Namun...
Entah kenapa...
Tidak terdetik rasa gentar dalam hatiku ini
Tidak terdetik rasa gerun apabila mendengar khutbah ini
Apa yang terjadi pada diriku ini?
Tidakkah ku takut akan azab-Nya?
Dengan maksiat yang ku lakukan setiap hari
Adakah ku rasa amalku telah cukup?
Yang dilakukan dengan keadaan terpaksa dan riak
Mampukah aku menjawab soalan Munkar Nakir Mu nanti?

Ya Allah
Inikah tandanya hatiku keras?
Sehingga tak terasa gerun apabila diceritakan azab-Mu
Adakah kerana ku terlalu cintakan dunia?
Sehingga terlupa untuk mencintai-Mu
Sehingga terlupa aku akan kembali pada-Mu

Wahai hati yang keras!
Lembutkanlah!
Jangan merasa hebat dengan amalmu!
Takutlah dengan maksiat yang kau lakukan!
Gerunlah dengan azab siksaan Tuhanmu!


Wahai hati yang keras!
Bukakanlah!
Bukakanlah pintumu untuk mendapat cinta Ilahi!
Lupakan cintamu kepada dunia yang penuh tipu daya ini!
Kembalilah pada Tuhanmu!


Sunday, April 17, 2011 0 comments

... Kepimpinan ...


Satu realiti yang sentiasa wujud dalam kehidupan

Bermula dari sebesar-besar kepimpinan

Iaitu kepimpinan Allah terhadap alam

Hinggalah sekecil-kecil kepimpinan 

Iaitu kepimpinan terhadap diri



Apakah itu kepimpinan?

 Sejenis hubungan perilaku manusia, pengaruh,

Daya tindakan serta penghalang

Ke arah matlamat tertentu

Dengan cara yang boleh menjamin

Kepatuhan, Kepercayaan dan Penghormatan


 Kepimpinan dalam Islam

Bukan sahaja satu TASHRIF

Bukannya untuk dikenali, disegani, dihormati


 Akan tetapi ianya satu TAKLIF yang amat besar

Yang hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar layak

Dan memenuhi syarat-syarat kepimpinan 

Dilaksanakan dengan penuh ikhlas dan tawakkal kepada Allah

 
"Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap dari kamu akan dipertanggungjawabkan ke atas apa yang kamu pimpin........"


Monday, April 11, 2011 0 comments

Rabitah


Ya Allah

Engkau mengetahui

Bahawa hati-hati ini

Telah berkumpul kerna mengasihi-Mu

Bertemu untuk mematuhi perintah-Mu

Bersatu memikul beban dakwah-Mu

Hati-hati ini telah mengikat janji setia

Untuk mendaulatkan dan menyokong syariat-Mu


Maka

Eratkanlah Ya Allah akan ikatannya

Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini

Tunjuklah kepada hati-hati ini akan jalan-Mu

Penuhkan hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu

Yang tidak akan malap

Lapangkan hati-hati ini dengan

Limpahan iman dan keyakinan

Dan keindahan tawakkal kepada-Mu

Suburkan hati-hati ini dengan makrifah tentang-Mu


Jika Engkau mentakdirkan mati

Maka matikanlah pemilik hati-hati ini

Sebagai para syuhada'

Dalam perjuangan agama-Mu

Engkaulah sebaik-baik pelindung

Dan sebaik-baik penolong



p/s - doa yang banyak dihafal tetapi sedikit yang memahami dan menghayatinya...terutama kau, Atiq!
Monday, April 04, 2011 2 comments

Adakah ini.........



Telah lama aku hidup

sudah lebih 18 tahun

lebih 216 bulan

lebih 6570 hari

lebih 157680 jam

lebih 9460800 minit

lebih 567648000 saat

setiap saat yang aku hidup

banyak nikmat yang Allah kurniakan padaku

tak dapat ku hitung

benar apa yang dikatakan-NYA...


Kesihatan, Keselamatan, Kelapangan, Keselesaan, 

Kekuatan, Kesenangan, Kemewahan

Kehidupan sebagai Muslim



Namun kekadang aku terfikir...

adakah ini Nikmat kepadaku?

Yang dikurniakan kepadaku

Agarku mendekatkan diri kepada-Nya

Agarku mendirikan kembali agama-Nya 

Agar dapat ku membantu mereka yang tidak mendapat nikmat ini

Ataupun ini hanyalah ISTIDRAJ kepadaku!!

Yang diberikan ini

Agarku semakin jauh dari-Nya

Agarku lupa akan kembali kepada-Nya

Agarku berjalan angkuh di bumi-Nya ini


...Astaghfirullah...


 
;